Kita sering berasa hairan. Menimbang kehidupan diri dan orang di sekeliling kita. Terasa diri kita lah yang paling kesusahan. Yang paling kekurangan serba serbi.
Melihat sahabat yang gembira gembira bersama orang tua mereka. Melihat mereka berkunjung ke sana ke mari melibur diri. Sihat bahagia tertera jelas pada wajah. Punya rumah bak mahligai, berkenderaan mewah meluncur di jalanan.
Oh lah diri. Angkat wajahmu, laplah titis-titis jernih yang membasahi wajahmu. Tataplah wajahmu ke cermin.
"Mengapa harus begini. Mana pergi wajahku yang dahulu. Wajah penuhh ceria, penuh cinta..."
Bangkit dan basahkan diri sebasah-basahnya. Biar segala deritamu luruh membuak mengalir lalu menghilang. Biar dirimu segar mewangi.
"Oh Tuhan. Aku masih ada diriku, hatiku. Aku mesti melangkah, kemudian berlari. Aku ini pemenang suatu waktu dahulu, dan aku akan menang dalam hidup ku, di dunia kelam ini, juga dunia akan datang!"
Saya ini banyaklah hobinya. Membaca, menulis, berkebun, berjalan-jalan, membuat kerja-kerja seni. Introvert lah kan.
Untuk kali ini, saya ingin menceritakan hobi saya yang suka berkebun. Sukar dipisahkan. Gen yang kuat daripada bapa, ibu, juga adik-beradik yang suka menanam. Sama ada menanam pokok buah-buahan, pokok-pokok bunga atau pokok herba. Jadi sebagai anak bungsu, tidak hairanlah jika rumah saya dipenuhi pokok. Hingga saya menggelarkan kawasan rumah saya sebagai Sal Garden. Posmen yang datang menyerahkan bingkisan pun cam, "Rumah yang banyak pokok tu kah?" Pemilihan pokok pertamanya perlulah sesuai dengan kelulut peliharaan saya (stainless bee), yang berbau wangi, pokok buah-buahan, atau pokok herba.
Kegilaan kepada pokok ini menyebabkan saya akan mencari dan memesan biarpun daripada nursery luar daripada tempat saya. Penggila pokok faham sangat tabiat saya. Oklah kan, kalau gila pokok, rumah akan cantik, udara segar, dapat makan buah atau bunganya dan menikmati madu kelulut. Badan sihat, fikiran tenang.
Terima kasih kuntuman indah mewangi, terima kasih anak-anak bulus, syukur kepada-Mu Allah yang memberi aku rasa bahagia.
"Maka tidakkah mereka mengembara di muka bumi dan memerhatikan kesan
tinggalan orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka? Allah telah
menghancurkan orang-orang itu, dan orang-orang kafir (yang mengikut jejak
mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang serupa." - QS Muhammad: 10.
"Mengembaralah di muka bumi dan lihatlah kesudahan orang-orang yang
telah lalu; kebanyakan mereka adalah orang musyrik." - QS al-Rum: 42.
"Katakanlah (wahai Muhammad); Mengembaralah di muka bumi, dan
perhatikanlah buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu." - QS
al-Naml: 69.
"Tidakkah mereka mengembara di muka bumi sehingga dapat memahami
dengan hati, mendengar dengan telinga? Sesungguhnya yang buta bukanlah mata di
kepala, tetapi mata hati di dalam dada." - QS al-Haj: 46.
Saya pernah memblog. Tetapi, itulah. Jika tidak ditunjuk rasa kasih, blog pun boleh merajuk. Hendak diseru-seru, kemahiran memujuk (blog) tidak kupunya.
Namun, rasa ingin berkongsi pengalaman yang hitam juga putih, lambakan informasi, di dunia yang tanpa sempadan, juga di dunia yang bersempadan, memanggil-manggil untuk kembali menaip bait-bait ayat. Seperti kata bijak pandai, 'Tulislah, untuk menandakan kamu pernah hidup". Tulislah, kerana kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang. Mutiara kata yang diatur kelak akan menyinar hati-hati manusia yang mencari cahaya.
Oh, saya teringat, satu peristiwa yang masih utuh dalam amigdala. Setelah sekian lama menulis di blog pertama, saya ingin berhenti. Walaupun menulis itu minat saya, tapi, fizikal, mental saya ketika itu tersemban ke bumi. Oh, sakit sekali. Saya pun tidak tahu sedikit atau ramai yang membaca tulisan saya. Saya menitipkan kata-kata/pesanan bahawa saya ingin menamatkan penulisan saya. Tiada sebab-sebab diterakan. Namun, selepas itu, seorang bapa memohon saya meneruskan penulisan. Katanya anaknya suka membaca tulisan-tulisan saya. Dan kisah kedua, suatu pagi, ketika membuka siaran radio kegemaran saya, ada seorang pendengar menghantar mutiara kata. Saya terpegun sejenak. Kata-kata itu itu, sangat rapat di hati. Sebelum itu, saya mengemaskini bahagian atas blog saya (pinned) dengan kata-kata itulah. Mungkin itu memang kata-kata beliau, tetapi kebetulankah? Kata-kata seindah mutiara sememangnya mampu menjernih mata, menjernih hati. Tidak kiralah apa-apapun. Janji, hidup kita ini diisi jiwanya.
Berjuanglah dengan kemampuan diri. Yang penting, kita akan sama-sama bijak dan berkumpul di sana dalam penuh kasih Ilahi.
Asssalamualaikum.
Salam kenal buat semua pelayar. Blog ini buat anda yang gemar berkebun, membaca, artworks, mengembara dan berbicara hal-hal duniawi dan ukhrawi...