OLEH: NURIMAS
i
Boom! Berita
hangat! Gempar!
Begitulah
reaksi umum apabila berita tersebut terpampang di dada akhbar. Begitu cepat
marak macam api makan lalang kering ditiup angin. Macam tuang minyak ke atas
bara api yang sedang menyala. Semua orang membacanya. Semua pihak menuding ke
arahnya. Semua warga jabatan menyoal-siasat dirinya. Aduh, parah betul!
Ketenangan yang wujud sekian lama,
tiba-tiba meletup laksana bom jangka. Semua warganet bicara hal yang sama.
Bahkan komuniti setempat pun mula memandang lain macam saja kepada institusi
bina ilmu itu. Ketua majlis permuafakatan kampung turut jadi tumpuan anak buah
untuk mendapat cerita sebenar.
Apa lagi kepala kantor yang di atas batu jemalanyalah terhempuk
segala masalah. Di atas pundaknyalah terpikul semua beban. Dan sebahagian besar
masalah, bebanan, kutukan dan malu itu kini dilonggokkan pula ke atas kepala mudir
tua itu.
Memalukan! Buruk
nama institusi!
Momentum persepsi umum melantun
memenuhi semua laman sosial , akhbar dan komuniti setempat. Para netizen
menukilkan komentar yang rata-rata menyakitkan hati apabila membacanya. Khalayak
pula lebih terarah untuk mensensasikan
berita yang belum sahih lalu menjatuhkan hukum di mahkamah maya. Komuniti pula
memandang sinis dan tipikal kepada warga
institusi yang diakui murni itu.
Semua itu kini menjadi tanda niaga warga
asrama dan institusi didik pelajar yang
tersohor dan bersih dari noda dupa. Di mana-mana orang asyik bicara
fasal kejadian buli pelajar yang kini menjadi viral di mana-mana laman sosial.
Di warung kopi orang bersembang fasal kelemahan kawalan mudir tua itu menjaga
anak buahnya.
Di bendang dan ladang kelapa
sawitpun pak tani bertekak fasal siapa yang salah, siapa betul. Siapa yang
patut dikenakan tindakan , siapa yang patut dibuang, pembuli ke mudir. Semuanya
ini membuatkannya tambah tua daripada usia biologi sebenarnya. Sejak kejadian
itu meletop, bagai mencepat pula uban menyubur di laman kepalanya.
Petang itu, sepasukan anggota polis
datang menyerbu asrama tahfiz. Orang yang paling dikehendaki ialah mudir, bukan
pelajar yang melakukan salahlaku. Walaupun enam pelajar telah membelasah
seorang mangsa, tetapi dia yang ditemui dahulu. Hampir dua jam beliau
disoal-siasat. Ditanya dari A sampai Z. Dari yang dia tahu kepada yang dia tak
tahu apa-apa. Haish!
“Ya, ya..saya ada emergency masa tu. Ada kemalangan di
kampung, tapi warden asrama ada,” sedikit gugup mudir itu apabila ditebak
detektif Bedul. Warden yang juga seusia jadi galang ganti. Dia terpaksa menyatakan
yang betul walaupun tahu itu jalan sukar baginya. Berdepan dengan polis ni tidak
boleh cakap barang rambang. Susah nanti!
Silap-silap kita kena heret ke mahkamah asbab
berkata dusta. Selepas mencatat sesuatu, anggota polis itu meminta untuk bertemu
dengan sang juvana yang mempalit arang itu. Warden telah ambil prakarsa kuarantinkan
mereka.
Dia tahu setiap kejadian ada SOP
atau Standard Operation Prosedur.
Jadi semua mesti mengiktu langkah-langkah keselamatan dan tindakan yang telah
ditetapkan. Baharu tiga bulan, mengambil
alih tugasan tersebut sudah jadi onar begitu. Pusat asuhan yang beroperasi atas
ehsan para dermawan menempatkan 20 penghuni anak yatim terpilih. Mereka
mengikuti pengajian tahfiz di premis itu.
Luka
di bahagian tangan budak kena buli agak serius dan memerlukan rawatan lanjut.
Minta-mintalah tidak sampai patah akibat dikerjakan oleh enam jahanam OKT
(Orang Kena Tuduh) tersebut. Keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan
penerangan warden dan mudir, lantas memanjangkan kes ke balai polis. Itu yang
jadi boom tu!.
ii
Biasanya
kes-kes disiplin begini boleh selesai begitu sahaja berkat muafakat dan
toleransi kedua belah pihak terutamanya keluarga.
“Tak
boleh, ustaz. Kalau sampai bengkak-bengkak dan patah riuk macam ni, saya tak boleh
maafkan. Yang salah mesti dikenakan tindakan,” demikian hujah bapa ketika
diskusi sebelum meneruskan hasrat membuat laporan polis. Muka mudir menggelisah. Apa yang berlaku di premis di
bawah jajahan takluknya akan terpalit juga pada prestasi kerjanya.
Memang budak-budak zaman ini sengaja
mahu melawan arus, menentang peraturan dan mencabar perundangan. Sebelum ini
juga kedengaran berita penghuni membawa vape dan rokok ke asrama. Sukar dicari
siapa tokang, siapa dalangnya. Mereka pandai simpan rahsia dan rela didera oleh
warden daripada membuka pekong di dada.
Lama juga dektektif Bedul dan
anggotanya menyoal-desak keenam-enam juvana itu. Pendek kata kalau sudah di tangan polis, tidak
banyak, sikitpun kena juga. ‘Giliranku sudah habis, kini terimalah giliran kamu
pula,’ desis hati panas mudir. Sesekali dia menggetap-ngetap bibir tanda geram
apabila kedengaran dektektif Bedul meninggikan suara dan seakan menampar
budak-budak itu. Baru padan muka kau!
Usai sesi soal-siasat, kini tiba
masa untuk membuat laporan dan menjawab surat tunjuk sebab pihak atasan pula. Fail
kena lengkap dan cukup dengan eviden. Laporan penyelia dan warden dikembarkan
sekali dengan laporan ketua jabatan. Bukan boleh main tangkap muat. Buruk
padahnya nanti. Boleh menjejaskan kenaikan pangkat, reputasi, tindakan
tata-tertib dan paling dahsyat dibuang kerja.
Hari ini dia datang ke pusagt asuhan
tahfiz tersebut sambil bertongkat. Sakit gout yang diwarisinya menyerang
kembali, pantang salah makan. Tapi seingatnya selepas kejadian itu, dia tidak
lalu makan, apa lagi hidupan laut yang sememangnya menjadi alahan kepada pengidapnya.
Asid urik yang berlebihan pada hasil marina akan membentuk lemak pejal dan
menyebabkan gout.
Rupanya bukan sahaja kerana salah
makan, atau makanan laut jadi penyebab sendi mengeras. Tekanan atau stress juga
boleh memangkinkan metabolisme tidak normal dan tubuh letih, tegang urat lantas
menyebabkan sakit itu bertandang kembali.
Menyusup masuk ke temulang sendi dan menyucuk-nyucukkan bisanya.
Kejadian gempita itu benar-benar
telah menghilangkan nafsunya untuk terus bekerja. Atau sekurang-kurangnya untuk
melabuhkan posisinya sebagai mudir di institusi tersebut. Tidak tertanggung
rasanya bebanan yang diheretnya di samping rutin bisnesnya yang juga perlu
diladeni. Bukan baru sebulan dua ini, bahkan sudah dua dekad dia bergelumang
dengan karenah juvana delinkuensi sebelum bersara wajib dari kerja gomen.
Mulanya
mahu berehat pascapencen, namun atas permintaan rakan, beliau setuju memberi khidmat
di premis bukan kerajaan tersebut. Yalah, dapat juga dia mengisi ruang yang ada
sebelum dijemput ke taman masa depan. Harap-harap jadi ladang pahala baginya.
Tempoh
tanpa limitasi menunggu keputusan dokumentasi dan siasatan polis terasa lama
pula. Tidak tahu sama ada dia disabitkan atau tidak. Jeda tersebut membuatkan mudir
itu tenang seketika walaupun dalam bejana gundah gulana.
‘Kali ini biarlah aku berundur, tak
larat,’ dia bercakap sendiri. Mahu sahaja dia hantar surat letak jawatan
sekarang juga. Tapi biarlah kes ini selesai dahulu, mudah-mudahan menjadi kes
terakhir yang dikendalikannya. Sebenarnya beliau belumlah tua sangat, tapi
bermain dengan budak ni sudah terlalu lama, naik muak juga.
Tiga puluh tahun bukan waktu yang singkat untuk
tugas melayani remaja. Selama berkhidmat dengan kerajaan, peranan yang
dimainkannya cukup bagus hingga membolehkan pihak pengurusan menghadiahinya dua
kali anugerah pencapaian staff cemerlang. Satu kejayaan yang agak luar biasa
bagi warga komuniti sekolah berkapasiti 100 warga kerja itu.
Dia membilang momen-momen manis
kejayaan silamnya dan meramal pula detik kejatuhannya. Terselit juga rasa
sayang yang amat mendalam kepada dunia pendidikan yang telah digomolnya sekian
lama. Terasa sudah sebati benar dia dengan panggilan ‘abah’ dalam kalangan
anak-anak buahnya. Ciri humanistik dan keibubapaan yang diterapkan nyata dapat
membentuk sahsiah terpuji anak-anak remaja ‘fragile’ itu.
Cuma seperti kata oranglah, lautan
mana tidak bergelombang, bumi mana tidak ditimpa hujan. Sesekali tercetus juga
insiden yang memberi konotasi negatif dan langsang. Maklumlah juvana ini penuh
dengan citarasa ingin mencuba dan ciri provokatif yang tinggi. Ada-ada sahaja
yang mahu dilakukannya, tanpa mengira betul salah.
Bukan
senang mahu mendidik manusia, apa lagi mencipta mercu jaya. Mereka tidak tahu
betapa penat lelahnya membina legasi kecemerlangan. Tetapi jika tersilap atau
gagal sekali, semua menuding jatri. Beberapa kerat sahaja yang mengutus simpati
mahupun belasungkawa ketika dia kecewa.
Insiden terkini benr-benar menguji
kesabarannya dan seakan mematahkan semangat wajanya sebagai mudir. Inilah kali
pertama kesnya sampai ke kantor pak polisi, ke meja editor akhbar arus perdana
dan alam maya.
Malah sampai ke tangan seluruh
manusia yang membaca e-akhbar di serata buana. Menjadi buah mulut dan bualan
ratusan , malah mungkin jutaan manusia seantero dunia yang melayari internet. Segala
yang dilakukannya sebelum ini walaupun mendapat puja dan segunung puji, lupus
dialahkan maki dan caci.
iii
Dia
akur dengan kudrat dan iradatnya yang kian pupus. Suaranya juga semakin lirih
ketika memberi arahan dan memarahi penghuni. Tidak lagi segah dan seguntur
dahulu ketika menjadi warden asrama di sekolah harian. Dengar sahaja dehemnya
semua penghuni tidak mampu berdecit.
Mudir
bersedih sendiri. Mengenangkan anak-anak asuhan itu yang tidak lagi mudah
dikawal. Sudah jarang menepati masa untuk solat berjemaah dan bergerak ke
premis-premis lain tepat dan berperaturan. Dia sudah capik untuk menjerit-jerit
memanggil anak-anaknya. Modulasi yang dilagukan sekadar sebuah eligi yang amat
tragik liriknya.
Premis itu adalah taman asuhan untuk
anak-anak kurang bernasib baik dan gelandangan yang diakui tidak begitu
terurus. Pihak NGO mengambil prakarsa menubuhkan pusat tersebut dengan penuh
rasa cakna. Mereka ditatang dengan kasih-sayang, sandang pangan yang tidak
pernah kurang. Ada sahaja penderma yang bemurah hati menghulurkan infak tiap
hari.
Makan-minum serba mewah ala hotel.
Bukan setakat itu sahaja, bahkan bantuan kewangan, busana solat, duit saku dan
segalanya serba ada. Pendek kata anak-anak asuhan di sini dinaikkan taraf dari
serendah-rendah keadaan ke semulia-mulia kedudukan. Apatah lagi status anak
yatim itu amat mudah menundukkan rasa simpati penderma yang ikhlas suci.
Gempar lagi! Kecoh! Terkini!
Warga premis asuhan itu geger lagi pagi itu. Semua
penghuni asrama berkerumun di lobi bilik mudir. Masing-masing menunjukkan
reaksi resah dan huru-hara. Ada yang berlari-lari macam orang nanar mencari
seseorang. Kenapa, ada orang kena belasah lagikah? Atau penghuni juvana
bergaduh atau merusuh?
Ah,
ini mesti kes balas dendam! Kelihatan beberapa orang penghuni kecil semacam
kena sawan bergegas mencari halimunan. Kemudian balik semula membawa bekas
entah apa isinya. Ada juga kelibat pelajar berserban berjubah menyinsing lengan
macam hendak membalun seseorang.
“Cepat panggil penyelia!” kata salah
seorang pelajar.
“Dah panggil, tak ada!” jawab satu
suara pula.
“Seorang panggil Ustaz Him,” suara
lain pula kedengaran. Lagaknya macam ketua pelajar, berserban dan jubah hijau.
Subjek yang dikerumuni masih belum kelihatan di balik himpunan penghuni asrama.
Tidak lama, seorang ustaz gendut
terkocoh-kocoh menghampiri lokasi. Beberapa pelajar memberi laluan dan
membenarkan sosok itu membelah ruang lingkungan. Tubuhnya lolos juga dengan kepayahah dalam rimbunan pelajar yang
kelam-kabut. Ruang lobi yang sempit itu kelihatan makin sesak.
“Baik-baik, ustaz,” ada kedengaran suara
mulus. Kemudian kelihatan dua pelajar banin membantu ustaz gendut memapah
seseorang yang longlai. Mudir? Ya, mudir
tua itu diusung keluar dari himpunan.
Mukanya pucat-lesi dengan tangan longlai di atas bahu cikgu gendut.
Perhimpunan
penghuni sekonyong-konyong mula reda. Ada sebilangan sahaja yang membuntuti
cikgu gendut dan pelajar yang memapah mudir tua itu ke sebuah kereta yang sedia
menunggu di laluan aspal.