Saya pernah memblog. Tetapi, itulah. Jika tidak ditunjuk rasa kasih, blog pun boleh merajuk. Hendak diseru-seru, kemahiran memujuk (blog) tidak kupunya.
Namun, rasa ingin berkongsi pengalaman yang hitam juga putih, lambakan informasi, di dunia yang tanpa sempadan, juga di dunia yang bersempadan, memanggil-manggil untuk kembali menaip bait-bait ayat. Seperti kata bijak pandai, 'Tulislah, untuk menandakan kamu pernah hidup". Tulislah, kerana kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang. Mutiara kata yang diatur kelak akan menyinar hati-hati manusia yang mencari cahaya.
Oh, saya teringat, satu peristiwa yang masih utuh dalam amigdala. Setelah sekian lama menulis di blog pertama, saya ingin berhenti. Walaupun menulis itu minat saya, tapi, fizikal, mental saya ketika itu tersemban ke bumi. Oh, sakit sekali. Saya pun tidak tahu sedikit atau ramai yang membaca tulisan saya. Saya menitipkan kata-kata/pesanan bahawa saya ingin menamatkan penulisan saya. Tiada sebab-sebab diterakan. Namun, selepas itu, seorang bapa memohon saya meneruskan penulisan. Katanya anaknya suka membaca tulisan-tulisan saya. Dan kisah kedua, suatu pagi, ketika membuka siaran radio kegemaran saya, ada seorang pendengar menghantar mutiara kata. Saya terpegun sejenak. Kata-kata itu itu, sangat rapat di hati. Sebelum itu, saya mengemaskini bahagian atas blog saya (pinned) dengan kata-kata itulah. Mungkin itu memang kata-kata beliau, tetapi kebetulankah? Kata-kata seindah mutiara sememangnya mampu menjernih mata, menjernih hati. Tidak kiralah apa-apapun. Janji, hidup kita ini diisi jiwanya.
Berjuanglah dengan kemampuan diri. Yang penting, kita akan sama-sama bijak dan berkumpul di sana dalam penuh kasih Ilahi.
No comments:
Post a Comment